KUALA LUMPUR: Pembangunan lapangan terbang antarabangsa baharu Sarawak akan menerapkan ciri-ciri canggih bagi memudahkan penumpang.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari berkata, lapangan terbang itu akan dilengkapi dengan aspek pengesahan identiti dan pasport penumpang oleh Imigresen yang akan diselesaikan dengan mudah menggunakan paparan digital sahaja.
“Kalau mereka datang, hanya pergi ke skrin paparan digital dokumen hal ehwal seseorang selesai di skrin tersebut.
“Jadi tidak perlu pergi ke kaunter Imigresen dan sebagainya kerana semuanya sudah masuk dalam pangkalan data. Tidak seperti kaedah sekarang, tanya itu dan ini, jadi ia mesti canggih,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Sesi Townhall Bersama YAB Premier Sarawak di Auditorium Fakulti Perniagaan Dan Ekonomi, Universiti Malaya hari ini.
Katanya, bangunan lapangan terbang antarabangsa itu juga tidak semestinya besar namun yang penting dilengkapi dengan fasiliti terkini.
Selain itu katanya, Kerajaan Sarawak juga mahu meringankan beban rakyat negeri ini terutama pelajar akibat kos penerbangan yang tinggi untuk balik ke sini setiap kali tiba musim perayaan.
Ujar Abang Johari, dengan mengenakan harga tiket yang kompetitif, ia bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk negeri ini, malah mampu menarik kedatangan lebih ramai orang luar ke Sarawak.